Tuesday, 30 March 2010

Karangan 3 (Bergambar): Aktiviti Badan Beruniform Serta Faedahnya.

  google.com:pengakap

  Kementerian Pelajaran Malaysia baru sahaja meningkatkan dominan kepentingan kokurikulum dalam sistem pendidikan nasional. Langkah ini secara eksplisit menerangkan kokurikulum sebagai simbolik kepada tiket kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berserta beberapa syarat kelayakan yang lain. Oleh yang demikian, institusi-institusi akademik di Malaysia mula mempromosikan badan-badan beruniform seperti Kadet Pertahanan Awam, Kadet Remaja Sekolah dan Persatuan Pengakap bagi menyusuri arus pendidikan negara.


  Faedah-faedah yang boleh didapati apabila para pelajar menyertai badan beruniform antara lain adalah memapankan ketahanan mental dan fizikal diri. Hal ini sangat penting kerana meningkat usia remaja, banyak cabaran yang perlu ditongkah seraya mendambakan kekuatan luaran dan dalaman. Bahkan, formula ketahanan diri tersebut juga boleh diaplikasikan demi menghadapai rintangan pada masa hadapan. Oleh itu, aktiviti-aktiviti lasak yang sudah termaktub dalam silabus badan beruniform seperti 'flying-fox', 'night-walk' dan 'jungle-trekking' merupakan kaedah awal bagi membuka kotak penerimaan pelajar terhadap kepentingan hal ini kepada diri mereka.


  Di samping itu, penyertaan pelajar dalam unit beruniform berpotensi memangkinkan semangat kerjasama dan pembentukan disiplin mereka. Hal ini dapat dibuktikan melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti-aktiviti yang mendesak ketepatan masa yang tinggi seperti kawad kaki. Aktiviti tersebut memerlukan gemblengan tenaga yang maksimum daripada ahli-ahli pasukan bagi menghasilkan formasi yang sedap mata memandang. Jika semangat bersinergi tidak dipahat dalam diri pelajar, sikap bertanggungjawab dan prihatin juga tidak akan wujud. Oleh itu, para pelajar yang menyertai badan beruniform sering masyhur dengan ketepatan masa dan nilai disiplin yang tinggi.


  Selain itu, para pelajar juga akan diasuh tentang ilmu asas kecemasan. Perkara ini sangat berfaedah kerana sekiranya berlaku sebarang kecederaan ketika bergiat lasak, para pelajar boleh tampil menghulurkan bantuan. Sebagai misalan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) merupakan unit utama di sekolah yang bertindak menyebarkan wadah kesihatan kepada ahli-ahlinya dan umum. Maka, tindakan ini dilihat sangat efektif demi memansuhkan kedaifan akal pelajar tentang ilmu kesihatan.


  Akhirulkalam, semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum bagi menjamin kemenjadian masa depan. Elakkan daripada tertumpu kepada aset kurikulum sahaja. Para pelajar perlu sedar bahawa roda zaman sedang berputar justeru mereka harus mengikuti perkembangan sistem pendidikan untuk faedah diri sendiri.


333 patah perkataan
-oleh Amirul Rezza


SINONIM
1. dominan: pengaruh/kuasa
2. eksplisit: dinyatakan secara terang-terangan
3. simbolik: sebagai simbol/perlambangan
4. ditongkah: ditempuhi
5. silabus: sukatan pendidikan
6. memangkinkan: menyemarakkan/meningkatkan
7. gemblengan: paduan/kerjasama
8. masyhur: terkenal
9. wadah: medium/medan
10. Akhirulkalam: kesimpulannya, konklusinya
11. kemenjadian: hasil yang positif



1 comment:

Anonymous said...

This help me a lot ~ syukran jazilan