Sunday 25 April 2010

Karangan 6 (Minggu Bahasa): Langkah-langkah Memasyarakatkan Bahasa Malaysia.

  'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan Bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?

  Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih Bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding Bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat Bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.

Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan Bahasa Malaysia di peringkat lokal.Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.

  Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1 Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.

  Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan Bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencaman golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan Bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.

  Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan terhadap Bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa Bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.

  Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan darjat Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan Bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada disebut, 'yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa'. Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

597 patah perkataan 
-oleh Amirul Rezza
Sempena Minggu Bahasa Kebangsaan 
peringkat sekolah

SINONIM
1. signifikan: kepentingan
2. diadaptasikan: diubah suai
3. relevan: rasional, benar
4. menggesa: mendesak, mengarahkan
5. diimplementasikan: dilaksanakan
6. nafsi: pentingkan diri
7. dominan: berpengaruh
8. ironinya: sebaliknya, yang bertentangan
9. mangkin yang efektif: usaha yang berkesan
10. proaktif: maju
11. membejat: mengekang, mengatasi
12. sementelahan pula: tambahan lagi
13. kemenjadian: perihal menjadi, perihal sesuatu
14. agen perpaduan: pengaruh kesepunyaan kaum
15. nafsi perkauman: sifat kesepunyaan kaum
16. holistik: menyeluruh
17. rencaman: pelbagai
18. wadah: alat
19. kontemporari: zaman kini, era baru
20. meledakkan: meninggikan

Friday 2 April 2010

Karangan 5 (Pilihan): Punca Dan Langkah Menangani Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar.

  Ponteng merupakan kekangan disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar diatasi di sekolah. Antara lain, ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras kelemahan sistem pendidikan Malaysia yang dilaksanakan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Perang media menerusi akhbar, majalah, blog dan sebagainya telahpun meletus bagi membincangkan pro serta kontra kegiatan tidak bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang bergiat cergas dengan mengobservasi punca dan ikhtiar bagi menekan kemajuan polemik ini.

  Punca bercambahnya masalah ini termasuklah kurangnya didikan duniawi serta ukhrawi daripada ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar kemewahan hinggakan sanggup mempedulikan asas kehidupan serta dasar keagamaan anak-anak mereka. Bahkan mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah yang bakal merosakkan anak bangsa kita. Persis slogan 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya mengatur strategi kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menonggak negara pada masa akan datang.

  Pemuda watan kita sering tersilap memilih jalan seperti peribahasa disebut 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini disebabkan, remaja marcapada lebih cenderung memilih rakan yang mengikut 'trend' walhal budaya yang disalurkan adalah negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat yang diisi dalam kotak pemikiran kita sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal. Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mengikut peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya, mudahlah baginya untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik dapat mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna.

  Di samping itu, peranan media juga menjadi tulang belakang kepada kegawatan ini. Media kini lebih gemar memaparkan program-program yang bertentangan dengan norma masyarakat lokal. Eksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai intiha, memesongkan iman para remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi untuk terjerumus ke lembah kehinaan. Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap masih longgar kerana wujud adegan-adegan separa lucah yang dapat meracun minda remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali terikut-ikut dengan paparan negatif yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

  Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini, masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng sekolah, kerana pepatah ghalib disebut 'sediakan payung sebelum hujan'. Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif.

  Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa gejala ponteng bukanlah aktiviti yang menjamin masa depan. Sepatutnya, masa yang terluang diisi dengan ilmu dan pengajaran sebagai bekalan untuk masa hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah menitik beratkan peraturan dan undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang sebelah mata akan peraturan sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan mereka. Apabila peraturan dan hukuman dilaksanakan, pelajar-pelajar akan tergerak daripada mimpi dan sedar bahawa kebebasan yang dikecapi adalah terhad.

  Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara seterusnya bersaing dengan kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik memperlekehkan kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan negara seiring dengan gagasan 1 Malaysia.

551 patah perkataan
-oleh Amirul Rezza
Peperiksaan Akhir Tahun 2009


SINONIM
1. indikator: penunjuk, penanda aras
2. pro dan kontra: kebaikan dan keburukan
3. mengobservasi: memantau, melihat
4. ikhtiar: langkah-langkah, usaha
5. menekan kemajuan: memperlahankan
6. marcapada: kini
7. cenderung: lebih gemar
8. menggunung: banyak, membukit
9. kotak pemikiran: pemikiran
10. tulang belakang: tunjang, sendi utama
11. norma: adat, kebiasaan
12. eksploitasi: mengambil kesempatan
13. sebagai intiha: sebagai contoh
14. variasi: pelbagai, berbagai-bagai
15. polemik: isu
16. efektif: berkesan
17. memandang sebelah mata: melihat mudah, tidak serius
18. memacu: menyokong, mendorong
19. rumpun: negara
20. pentarbiahan: pendidikan
21. keterjelmaan: kejayaan, keterampilan